Oleh WAHIDUZZAMAN
Barisan pelakon filem Aku Tak Bodoh  (dari kiri) Amy Mastura, Riezman Khuzaimi, penerbit eksekutif Ahmad  Puad Onah, penerbit Brando Lee, Ariel Zafrel, Aizat Hassan pada sidang  media filem itu, Selasa. - Foto The Star oleh SHAARI CHE MAT PETALING JAYA: Wakil penerbit filem 
Aku Tak Bodoh iaitu Ahmad Puad Onah dan Brando Lee menyangkal dakwaan kononnya filem tersebut meniru filem komedi dari Singapura iaitu 
I Not Stupid Too (2006).
Menurut Puad yang ditemui pada sidang media filem itu di Cathay E@Curve, Damansara, Selasa, filem 
Aku Tak Bodoh yang diarahkan oleh pengarah baru Boris Boo itu   merupakan adaptasi daripada filem arahan pengarah Singapura, Jack Neo.
Bagi menyesuaikan dengan selera dan trend penonton di Malaysia, pihak  Primeworks Studios dan beberapa syarikat produksi terlibat telah pun  mendapatkan persetujuan daripada penerbit filem asal itu untuk  mengadaptasinya kepada versi Bahasa Malaysia.
Ahmad Puad Onah"Filem 
Aku Tak Bodoh tidak meniru atau 'ciplak' 
I Not Stupid Too arahan Jack Neo. Malah, kami juga bekerjasama dengan Neo sendiri dalam penerbitan filem versi Bahasa Malaysia ini.
"Tak dinafikan konsep dan jalan ceritanya sama tetapi kami tidak tiru bulat-bulat. 
Aku Tak Bodoh  diubahsuai mengikut kesesuaian budaya, bahasa dan sensitiviti  masyarakat Malaysia. Jadi, isu sebegini tidak sepatutnya timbul,"  katanya.
Brando yang juga penerbit bersama filem komedi keluarga itu menambah, 
Aku Tak Bodoh  bukan sahaja diubahsuai daripada aspek persembahan dan isi kandungannya  sahaja malah ia juga melibatkan pelakon, krew produksi dan dana  daripada Malaysia.
Brando Lee"
Aku Tak Bodoh adalah filem Malaysia yang mengadaptasi filem  Jack Neo. Bukan saja pelakon yang digunakan adalah pelakon dari  Malaysia, malah krew penerbitan serta dana yang dilaburkan untuk filem  ini juga datangnya daripada syarikat-syarikat di Malaysia.
"Senario mengadaptasi filem lain adalah sesuatu yang normal dalam  dunia penerbitan filem di dunia tetapi kita memastikan filem adaptasi  ini dihasilkan dengan sentuhan yang berbeza dan mengandungi elemen  tempatan," katanya.
Filem yang bakal ditayangkan pada 2 Disember depan bersempena dengan  musim cuti sekolah ini membariskan pelakon-pelakon popular dan baru  tanah air seperti Riezman Khuzaimi, Amy Mastura, Ariel Zafrel, Aizat  Hassan, Wan Noor Aizat, Namron dan Adibah Noor.
Aku Tak Bodoh yang menelan kos penerbitan sebanyak RM1.3 juta  ini berkisar kepada konflik ibu bapa yang gagal memahami dan meluangkan  masa bersama anak-anak ekoran kesibukan kerja sehingga menyebabkan  anak-anak terjerumus kepada perkara-perkara negatif.